Berita Terkini

Majlis Penutup Ihya Ramadan peringkat UiTM Cawangan Selangor (UCS)

Puncak Alam, 1 April 2024 – Majlis Penutup Ihya Ramadan peringkat UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah berlangsung dengan meriah sepanjang hari. Majlis dimulakan dengan program “Quran Time” iaitu majlis ilmu sempena

sambutan Nuzul Al-Quran.

Program ini adalah usahasama Unit Hal Ehwal Islam dan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor. Quran Time telah membawa penampilan istimewa iaitu PU Salman Maskuti sebagai penceramah undangan yang telah mengupas topik tadabbur surah At Takathur.

Majlis diteruskan dengan acara Khatam Al-Quran, sebagai penutup program tadarus yang berlangsung sempena bulan Ramadan, bermula pada 12 Mac 2024 sehingga 29 Mac 2024. Program tadarus Al-Quran telah melibatkan lebih 200 orang peserta terdiri daripada staf UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dan Kampus Sungai Buloh. Majlis diserikan dengan kehadiran YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor yang mengetuai majlis khatam, dan turut menyempurnakan penyerahan cenderamata kepada peserta tadarus.

Majlis turut menyaksikan perasmian penutup Ihya Ramadan yang disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor dalam acara seterusnya iaitu Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Syawal UiTM Cawangan Selangor 2024. Acara ini dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia. Penyerahan sumbangan bagi Program Ihya Ramadan UCS dan 2 unit TV untuk kegunaan Surau Ibnu Sina, Kampus Puncak Alam juga telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Taufik Afendy Othman, Pengarah Urusan TRIplc Holdings Berhad, rakan strategik UiTM Cawangan Selangor.

UiTM Cawangan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah menyumbang kotak agihan fidyah kepada 58 orang staf pentadbiran kampus, fakulti dan staf akademik UiTM Cawangan Selangor. Sumbangan dari MAIS telah disampaikan oleh YBrs. Prof Rektor, mewakili pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor yang juga menyediakan Bakul Syawal, sumbangan bersama TRIplc Holdings Berhad.

Kemuncak sambutan penutup Ihya Ramadan UCS 2024 berakhir dengan Majlis Iftar Perdana yang telah dimeriahkan dengan kehadiran 400 orang staf dan pelajar UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, Kampus Sungai Buloh & Kampus Puncak Perdana. Majlis iftar dan solat terawikh berjemaah diadakan bertujuan mengeratkan silaturrahim diantara warga UiTM Cawangan Selangor. UiTM Cawangan Selangor turut berbesar hati dengan kehadiran wakil komuniti dari Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam. UiTM Cawangan Selangor merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan strategik, TRIplc Holdings Berhad atas sumbangan dalam menjayakan majlis ini, dan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang majlis penutup Ihya Ramadan UCS 2024.

#UCSCemerlang

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000