Latest News

Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Ekspo Selangkah Ke Universiti Teknologi MARA (UITM) telah berjaya dilaksanakan pada 24 dan 25 Jun 2022 bertempat di Dewan Titiwangsa UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

dengan keseluruhan jumlah pengunjung yang hadir hampir 1000 orang. Sasaran bagi program ini adalah penduduk dan komuniti di sekitar Daerah Raub, Bentong, dan Lipis. Perlaksanaan program ini bertujuan untuk membantu para pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia mahupun Matrikulasi dengan pendedahan untuk membuat pilihan yang tepat dan sesuai berdasarkan keputusan peperiksaan yang diperolehi.

Bukan hanya pelajar, ibu bapa dan ahli keluarga turut dilihat menemani anak masing-masing bagi mendapatkan maklumat dan peluang bersesuaian dengan keputusan para calon.Salah seorang pengunjung Ekspo memaklumkan bahawa sistem semakan selangkah yang dibangunkan oleh UiTM merupakan pemudah cara bagi para calon menyemak kelayakan akademik masing-masing sesuai dengan keputusan SPM dan STPM mereka.
Program ini juga bermatlamat memberi ruang kepada bakal pelajar UiTM untuk mengetahui secara keseluruhan program pilihan mereka dengan lebih teliti, di mana perunding akademik dari kalangan pensyarah membantu memberi khidmat nasihat kepada para calon berkenaan kursus dan pelan pengajian di UiTM.

Diharapkan perundingan seperti ini dapat membantu para calon membuat keputusan semasa mengisi permohonan UPU mereka nanti. Program seperti ini dilihat sebagai langkah strategik yang mampu menjadi satu mekanisme terbaik dalam menyalurkan informasi terkini dan tepat kepada bakal pelajar UiTM. Program ini juga turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kursus yang sesuai dengan kelulusan mereka, selain memberi bimbingan dan khidmat nasihat tentang pilihan kursus. Ia sekaligus membantu pelajar agar tidak tersalah membuat pilihan.

Penglibatan Kelab Persatuan Pelajar antaranya Kelab Myagrosis, Kelab Mytecc, Kelab Beruniform dan beberapa kelab pelajar yang lain sepanjang berlangsungnya Ekspo ini juga merupakan satu pendekatan yang baik dalam memberikan peluang kepada calon pelajar untuk berkomunikasi dan berkongsi pengalaman mengenai kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti. Ianya sekaligus dapat meningkatkan motivasi mereka dalam menyusun langkah yang lebih baik untuk bersedia ke gerbang menara gading.

Program seperti ini dilihat sebagai satu usaha yang bijak dalam mengorak langkah yang lebih bersepadu dan holistik demi mencapai kesarjanaan akademik Bumiputera dalarn melahirkan modal insan terbaik.UiTM sentiasa komited dalam membantu dan memastikan semua pelajar bumiputera mendapat peluang menjejakkan kaki ke menara gading selari dengan usaha dan keputusan mereka.Malahan ia dilihat sebagai langkah strategik yang mampu menjadi satu mekanisme terbaik dalam menyalurkan informasi terkini dan tepat kepada lepasan SPM, Matrikulasi, STPM, ijazah Sarjana Muda dan ijazah Sarjana. Seterusnya dalam masa yang sama, golongan pelajar akan dapat membuat keputusan tepat dalam memilih program yang sesuai dengan kelulusan akademik dan minat mereka.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

webmedia@uitm.edu.my

Tel: +603-5544 2000