Latest News

Kerjasama Pintar UiTM dan Universiti di Jordan

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Profesor Madya Dr Mohd Afandi Mat Rani, mewakili Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa buah universiti di Jordan

dalam rangka lawatan rasmi bermula dari 19 April sehingga 22 April 2022. Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan universiti-universiti di Jordan. Ini bagi memenuhi keperluan pengantarabangsaan UiTM yang dirangka dalam Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) menuju Globally Renowned University (GRU).

UiTM sebagai pemain global ke arah menjadi universiti terkemuka dunia akan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universitiuniversiti di Jordan. MoU ini akan melibatkan program mobiliti staf dan pelajar antarabangsa menerusi program sangkutan, memperluas jaringan kerjasama membabitkan program akademik, seminar, program berkembar antara kedua-dua universiti, profesor pelawat, aktiviti penyelidikan dan perundingan serta meningkatkan jumlah staf akademik antarabangsa, selain beberapa perkara lain untuk memenuhi program pengantarabangsaan UiTM di persada dunia.

Pihak universiti di Jordan mengalu-alukan hasrat UiTM untuk mengadakan MoU dalam meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jordan dalam bidang pendidikan. Dalam bidang Pengajian Islam Kontemporari, kerjasama akan dijalin dalam program pengurusan industri halal, muamalat dan kewangan Islam serta pengajian Sarjana Muda Gunaan (Al-Quran) pada masa akan datang.

Dalam lawatan kerja tersebut Dekan ACIS telah mengunjungi Profesor Dr Nidal M. AlRamahi (Presiden Zarqa University), Profesor Dr Hani H. AlDmour, (Presiden Al-Bayt University), Profesor Dr Mohammad A.S Alkhalailah, (Presiden The World Islamic Science & Education University (WAIS)) dan Profesor Dr Zaid Eyadat (Timbalan Presiden International Affairs Universiti Amman Jordan).

Selain bidang Pengajian Islam Kontemporari, bidang-bidang pengajian yang lain seperti Perubatan, Kejururawatan, Farmasi, Pergigian, Kesenian, Perniagaan, Pelancongan Arkeologi, Pertanian, Kejuruteraan, Rehabilitasi, Sains, Sistem Teknologi Maklumat, Pengurusan Hotel, Sains Marin dan lain-lain turut mendapat tempat di kalangan para pelajar pascasiswazah di Jordan yang akan menjadikan UiTM sebagai tumpuan destinasi pendidikan yang berprestij.

Kerjasama yang baik daripada pihak kedutaan di Amman sangat membantu dalam merealisasikan kerjasama dua hala antara UiTM dan universiti di Jordan. Dalam lawatan tersebut, Dekan ACIS turut mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Malaysia Jordan (EMJ), Profesor Madya Dr Radzuwan Rasyid. Beliau yang merupakan graduan dan alumni daripada Fakulti Pendidikan UiTM turut menyatakan hasrat untuk membantu usaha meningkatkan kerjasama pintar antara UiTM dengan universiti selain Jordan seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Mesir, Bahrain, Oman dan negara-negara Timur Tengah lain.

Selain program kunjungan hormat ke universiti, UiTM juga turut mengadakan pameran pendidikan dua (2) hari di Jordan yang dianjurkan oleh oleh Education Malaysia Amman & Global Assist REEXPO melalui program Yes2Malaysia The Biggest Education Malaysia Fusion EXPO Edition 2022 secara virtual dan bersemuka. Penerimaan para pengunjung terhadap program yang ditawarkan oleh UiTM sangat memberangsangkan. UiTM turut menjadi destinasi utama tumpuan pengunjung kerana UiTM merupakan satu-satunya universiti awam yang menyertai pameran ini. Selain harga yuran murah dan berpatutan, UiTM adalah universiti awam yang terbesar di Malaysia mempunyai kepakaran dalam semua bidang pengajian. Antara bidang yang menjadi tumpuan pengunjung ekspo ini adalah perubatan, perakaunan, pendidikan, farmasi, kejuruteraan, pergigian,pengurusan perniagaan, teknologi maklumat dan lain-lain. Ramai di kalangan pengunjung yang datang belum menamatkan pengajian ijazah dan sarjana, namun telah merancang akan menyambung pengajian pascaijazah di peringkat sarjana dan doktor falsafah di UiTM selepas tamat belajar nanti.

Kerjasama yang terjalin antara dua negara ini dapat meningkatkan ketampakan UiTM sebagai salah sebuah universiti termuka di dunia. Agenda pengantarabangsaan UiTM dan transformasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan turut melonjakkan institusi ini menjadi universiti bertaraf global terutama dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan bagi mencapai matlamat GRU pada tahun 2025 nanti.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000