Berita Terkini

UiTM Tersenarai 100 Universiti Terbaik dalam QS Asia University Rankings 2024

8 NOV 2023 – Buat kali pertama dalam sejarah, UiTM telah mendapat kedudukan berprestij apabila tersenarai dalam 100 universiti terbaik

Asia dengan mencapai kedudukan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024 yang diumumkan hari ini. UiTM membuat lonjakan enam anak tangga dari kedudukan ke-104 pada tahun lalu dan kini berada pada kedudukan ke-9 di Malaysia. Kejayaan ini mempamerkan usaha dan komitmen jitu UiTM terhadap kecemerlangannya. 

Antara 11 indikator dalam QS AUR, UiTM telah mencapai peningkatan skor tertinggi untuk indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa. Indikator ini mengukur kehebatan rangkaian rakan penyelidikan antarabangsa UiTM, yang juga mencerminkan usaha universiti ke arah memacu penglibatan di peringkat global. UiTM turut mencatatkan peningkatan skor yang ketara bagi indikator Reputasi Majikan, Reputasi Akademik, dan Nisbah Pelajar Antarabangsa. 

"Saya amat bersyukur dengan keputusan cemerlang yang dicapai oleh UiTM sebagai hadiah pertama setelah saya dilantik,” ujar Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin yang baharu sahaja dilantik sebagai Naib Canselor UiTM ke-7. “Kejayaan besar ini adalah hasil usaha bekas Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor. Di bawah pimpinannya, UiTM telah mencapai tahap baharu yang dicerminkan melalui pengiktirafan ini. Saya berazam untuk menghormati dan memelihara warisan ini serta akan memastikan UiTM terus kekal merentasi puncak keunggulan dan kejayaan.” Beliau kemudian menambah, “Penarafan ini merupakan bukti bagi mencapai matlamat untuk menjadi universiti bertaraf global tanpa melupakan fungsi utamanya dalam mendidik bakat tempatan.” 

Pada tahun ini, QS AUR 2024 menyenaraikan sebanyak 857 institusi melibatkan 25 lokasi di Asia, iaitu peningkatan sebanyak 149 institusi dari tahun lalu. "Sebagai universiti terbesar di Malaysia, kami berbangga dengan kejayaan menyertai barisan 12% universiti terbaik di Asia. Kami juga mengucapkan tahniah kepada lima institusi tempatan baharu yang tersenarai dalam QS AUR 2024 tahun ini," katanya.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000