UiTM Dan Aeon Mall Shah Alam Rapatkan Hubungan Dengan Komuniti Melalui Program Memasak Bubur Lambuk

SHAH ALAM, 23 APRIL – Sempena menyambut bulan Ramadan, pada hari ini telah berlangsung program memasak bubur lambuk di AEON Mall Shah Alam.

Program ini merupakan kerjasama AEON Mall Shah Alam, National Autism Resource Center (NARC) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Komuniti Flat Seri Cempaka , Bandar Baru Klang turut turun padang menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur lambuk. Sejumlah 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada pelanggan AEON Mall Shah Alam dan pelajar Non-Residence UiTM Shah Alam.

Selain itu, AEON Mall turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 40 penghuni dan anak-anak asnaf Rumah Anak Yatim Telaga Kasih, Damansara yang di bantu oleh pelajar Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Komputer & Matematik, Universiti Teknologi MARA. Mereka yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lapan hingga dua belas tahun teruja dapat memilih sendiri baju raya mereka untuk dipakai pada pagi raya, diiringi oleh pihak pengurusan AEON Mall dan para pelajar Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Komputer & Matematik, Universiti Teknologi MARA.

Pengerusi NARC, Profesor Dr. Nursuriati Jamil menyatakan bahawa NARC sentiasa menyokong aktiviti bersifat kemasyarakatan untuk meningkatkan visibiliti NARC di kalangan komuniti. Beliau turut mengulas bahawa pihak NARC berharap dengan penganjuran akitiviti ini bersama AEON Mall Shah Alam dapat membantu komuniti secara umum dan komuniti autisme secara khusus dan semoga usaha ini berterusan.

Program gotong-royong memasak bubur lambuk ini dapat mengeratkan hubungan antara universiti, pelajar dan komuniti di samping mewujudkan peluang bersedekah dengan memberi sumbangan makanan serta melahirkan kesedaran tentang kepentingan bersedekah semasa bulan Ramadan. Aktiviti ini juga dapat membentuk para pelajar dengan sifat keprihatinan dan saling bantu-membantu serta melahirkan rasa syukur semasa menjalani ibadah berpuasa.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000