Jangan Ambil Mudah Kesihatan Buah Pinggang Terutamanya Golongan Orang Muda

SELANGOR, 15 MAC 2022 – Fakulti Perubatan dan Hospital Universiti Teknologi MARA (HUiTM) telah menjadi tuan rumah untuk acara tahunan yang disambut secara global iaitu Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat UiTM

pada 12 MAC 2022. Sambutan ini dilakukan secara serentak bersama dengan lima buah universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa dan beberapa buah universiti swasta yang lain.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini adalah lebih istimewa kerana buat julung kalinya melibatkan sinergi padu secara nasional antara Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan. Acara ini dijalankan secara hibrid dengan memberi fokus kepada program seperti senamrobik, ceramah kesihatan, pameran kesihatan dan forum kesihatan. Program forum yang dijalankan adalah khusus untuk membincangkan isu-isu kesihatan awam dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang, isu pendermaan dan pemindahan organ kepada masyarakat awam.

Setiap tahun, kira-kira 8,000 orang menghidap Penyakit Buah Pinggang Peringkat Akhir (ESKD). Pesakit-pesakit ini memerlukan dialisis untuk meneruskan kehidupan mereka. Penyakit Buah Pinggang Peringkat Akhir di Malaysia juga memberi kesan kepada populasi muda. Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kes yang melibatkan penyakit buah pinggang kronik dalam populasi dewasa telah meningkat daripada 9.1% pada tahun 2011 kepada 15.5% pada tahun 2018.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang terbesar di Malaysia, Dr. Muhammad Iqbal Abdul Hafidz dari Fakulti Perubatan UiTM telah berjaya mewujudkan program pemindahan buah pinggang pada tahun 2017 di HUiTM. Di Malaysia hanya UiTM dan Universiti Malaya yang berjaya menawarkan perkhidmatan ini selain Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang. HUiTM dilengkapi dengan kapasiti 400 katil, 98 klinik pakar, 17 dewan bedah dan wad serta 16 kerusi dialisis. Hospital ini, bersama-sama Fakulti Perubatan, mempunyai fasiliti yang lengkap untuk aktiviti akademik dan penyelidikan terkini dalam bidang sains dan perubatan.

Timbalan Naib Canselor UiTM (Pembangunan), YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Hj. Mohd Fozi Ali dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut berkata penyakit buah pinggang ini tidak dibincangkan dengan meluas seperti penyakit-penyakit lain. Sebagai contoh penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung sangat banyak dibincangkan. Sebenarnya, Penyakit Buah Pinggang Kronik (Chronic Kidney Disease) adalah isu kesihatan awam yang penting di Malaysia. Dalam konteks ini sememangnya ia berkait rapat dengan gaya hidup dan pemakanan kita dan beliau melihat objektif penganjuran program ini amat tepat sekali dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang. Program ini juga sangat signifikan untuk mendekatkan masyarakat dengan pengetahuan supaya mereka lebih responsif dalam isu kesihatan.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000