Hospital Al-Sultan Abdullah tawar perkhidmatan kesihatan kompeten

KUALA SELANGOR: Lebih sejuta pesakit pernah menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam sejak dibuka pada 5 April lalu membuktikan kemampuannya

menyediakan kemudahan perubatan yang kompeten.

Pusat perubatan yang ditukar nama daripada Hospital UiTM itu dilihat menjadi alternatif kepada penduduk di bahagian Kuala Selangor, Rawang serta utara Klang dan Shah Alam untuk mendapatkan rawatan pakar ataupun pesakit luar.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Roziah Mohd. Janor, Hospital Al-Sultan Abdullah digerakkan oleh tenaga pakar, profesional dan subkepakaran berpengalaman dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf global kepada komuniti.

“Hospital ini dilengkapi 400 katil pesakit sementara kompleks akademik dan perubatan disedia untuk kapasiti 750 orang mahasiswa, lengkap dengan makmal komputer interaktif, kemahiran klinikal dan wad simulasi.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah rawatan kecemasan dan trauma, kritikal, perubatan dalaman, kardiologi, pembedahan am, plastik dan rekonstruksi, kardiotorasik, ortopedik, rawatan ibu hamil, bayi, remaja dan orang dewasa, onkologi, geriatrik, forensik, kesihatan mental, rehabilitasi serta dialisis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Turut berkenan mencemar duli berangkat adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin Abdul Rahman.

Beliau menambah, kewujudan hospital itu membuktikan UiTM mampu melangkah lebih jauh khususnya dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan melalui inovasi perkhidmatan dan penyelidikan berterusan.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah adalah manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dalam memastikan ilmu perubatan diperluaskan capahannya kepada masyarakat setempat.

“Pembinaannya adalah bertepatan dengan fokus strategik Kementerian Pengajian Tinggi dalam memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan keperluan supaya universiti-universiti awam menggiatkan sumbangan beyond academic kepada komuniti.

“Saya juga percaya, pembangunan hospital ini akan mewujudkan lagi peluang-peluang pekerjaan yang dapat membantu memberikan limpahan ekonomi dan menjana pendapatan rakyat demi meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.

Tambahnya, Hospital Al-Sultan Abdullah dapat digunakan secara optimum serta memanfaatkan kumpulan sasaran di samping memberi pulangan atas pelaburan sewajarnya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/hospital-al-sultan-abdullah-tawar-perkhidmatan-kesihatan-kompeten/

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

webmedia@uitm.edu.my

Tel: +603-5544 2000