Convocation News

Jangan semai prasangka dalam kalangan mahasiswa - Agong

Shah Alam: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah universiti tidak seharusnya alpa dengan kemajmukan dan kerencaman masyarakat di negara ini dalam usaha melahirkan anak bangsa Melayu dan Bumiputera yang berpendidikan tinggi.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UiTM bertitah, perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan.

Titah baginda, polarisasi akan wujud bila mana kaum-kaum semakin merenggang sama ada disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.

"Polarisasi turut membawa implikasi sosio budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat.

"Justeru, apa juga batasan pemisah; jurang perbezaan dan lautan prasangka perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup dengan penuh keharmonian.

"Lantaran itu, beta menyeru kepada universiti ini serta seluruh institusi pengajian tinggi awam; dan swasta untuk memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

"Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional," titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97, di Dewan Agong Tuanku Canselor, hari ini.

Turut berkenan mengiringi baginda adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al - Sultan Abdullah bertitah, semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari.

Baginda bertitah, modal insan adalah wadah terpenting bagi mewujudkan pembangunan lestari sesebuah negara dan mestilah berupaya untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.

"Mereka juga mesti mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif; memiliki keupayaan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa serta mempunyai kebolehan untuk berhadapan dengan perubahan dinamik dunia tanpa sempadan," titah baginda.

Dalam pada itu, Al - Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas pengalaman manis dan berharga sepanjang baginda menjadi Canselor universiti itu.

"Sebagai pesanan terakhir beta, jangan sekali-kali universiti ini menyemai prasangka antara satu sama lain di kalangan mahasiswanya.

"Agenda pembangunan bangsa tidak harus mengenepikan agenda lebih besar iaitu pembentukan sebuah negara Malaysia yang harmoni serta bersatu padu antara semua kaum dan agama," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM pada 2019.

Seramai 35,069 graduan menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen UiTM, kali ini.

Sumber: Harian Metro

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000