Latest News

Tekanan, Keresahan Dan Kemurungan Di Kalangan Pelajar: Isu & Cabaran

Pada 17 Jun 2022 (Jumaat) yang lalu, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah menganjurkan webinar

Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) bertajuk “TEKANAN, KERESAHAN DAN KEMURUNGAN DI KALANGAN PELAJAR: ISU & CABARAN” melalui platform Webex dan Facebook Live. Program ini telah disertai oleh komuniti Felda Wilayah Jengka yang terdiri daripada warga dua buah sekolah kebangsaan iaitu SK Felda Jengka 11 dan SK Felda Jengka 15.

Webinar ini menampilkan dua orang panel yang pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Puan Hazlin Hasan, selaku Ketua Penyelidik serta Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang dan Puan Anita Kassim, Pegawai Psikologi Kanan, UiTM Cawangan Pahang. Ianya telah berjaya menarik seramai 132 peserta yang merupakan guru-guru, ibu bapa serta murid-murid tahun 5 dan tahun 6 dari kedua-dua sekolah tersebut.

Objektif utama program ini dijalankan adalah bagi menyokong hasrat universiti untuk menyuburkan amalan perkongsian ilmu di kalangan komuniti dan NGO melalui program-program pemindahan ilmu (Knowledge Transfer Program) dengan memanfaatkan sumber, kepakaran dan ilmu pengetahuan warga fakulti kepada komuniti setempat. Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk berkongsi dapatan kajian penyelidikan berasaskan geran penyelidikan yang telah diketuai oleh Puan Hazlin Hasan kepada peserta tentang isu semasa serta cabaran yang dihadapi oleh pelajar berkaitan dengan tekanan, keresahan dan kemurungan di dalam proses pembelajaran. Webinar ini juga bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dari sudut psikologi tentang tindakan yang bersesuaian yang boleh diambil oleh pihak yang berkepentingan di dalam menangani isu ini di peringkat awal lagi sebelum ianya menjadi parah.

Dengan terlaksananya program ini, di samping berjaya mencapai semua objektif-objektifnya, ia juga telah berjaya mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan atau “Sustainable Development Goals (SDG)” iaitu SDG3 (“Good Health and Well Being”) dan SDG4 (“Quality Education”).

Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program ini terutamanya guru besar, guru-guru serta PIBG SK Felda Jengka 11 dan SK Felda Jengka 15. Semoga jalinan kerjasama ini dapat disuburkan dan dieratkan lagi di masa akan datang untuk faedah bersama seterusnya memberi impak yang positif kepada komuniti setempat.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000