Latest News

Program Komuniti ICT Di Kampung Senau, Oya, Mukah

UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Senau, Oya telah menganjurkan Program Pemerkasaan ICT Dalam Kalangan Murid SK Kampung Senau dan Komuniti Setempat.

SK Kampung Senau telah dipilih sebagai lokasi penganjuran program yang telah berlangsung selama 2 hari baru-baru ini. Program ini bukan sahaja tertumpu kepada penyertaan 40 orang murid, malah turut melibatkan 20 orang guru serta 20 orang wakil ibu dan bapa. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran murid dan guru SK Kampung Senau serta komuniti setempat dalam memperkasakan penggunaan teknologi maklumat.

Antara pengisian program yang telah dilaksanakan adalah Taklimat Kepentingan Keselamatan Siber untuk murid-murid, ibu bapa dan guru-guru yang menekankan kepada isu-isu semasa berkaitan ancaman serta keselamatan alam siber. Selain itu, murid-murid SK Kampung Senau juga telah diajar tentang teknik penghasilan serta pengeditan imej dan kandungan video untuk dimuatnaik melalui platform atas talian. Program ini dimeriahkan lagi dengan sesi hands-on Simulasi Pengendalian Dron dan Robot yang berlangsung pada hari pertama program. Guru-guru di SK Kampung Senau turut didedahkan dengan ilmu tentang asas pembangunan sistem melalui Bengkel Pengenalan Kepada Pembangunan Sistem Secara Offline. Kemuncak program ini adalah Pertandingan Video Youtube Kreatif bertemakan Sekolahku Sejahtera yang telah disertai oleh seramai 40 orang murid.

Seramai 6 orang tenaga pengajar dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Sarawak iaitu Dr. Lee Beng Yong, Puan Lenny Yusrina Bujang Khedif, Puan Zubaidah Bohari, Puan Sulastri Putit, Puan Ketty Chachil dan Encik Abdul Hadi Abdul Talip telah berkongsi kepakaran masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan program ini.

Menurut Guru Besar SK Kampung Senau, Encik Hambli Rabi, program sebegini dapat mewujudkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam melaksanaan sesuatu projek di kalangan komuniti SK Kampung Senau. Selain itu, menurut beliau projek ini merupakan projek pertama SK Kampung Senau berkolaborasi dengan pihak luar yang mana melalui program ini ia dapat memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan antara UiTM dengan komuniti SK Kampung Senau.

Yang Dipertua SK Kampung Senau, Encik Yunus Sepi’e berharap agar murid-murid SK Kampung Senau dapat memanfaatkan ilmu yang telah dikongsikan oleh pihak UiTM dan berharap satu hari nanti murid-murid dapat menjejakkan kaki ke UiTM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

webmedia@uitm.edu.my

Tel: +603-5544 2000