Latest News

Universiti Teknologi Mara (UiTM), World eHEALTH Living Lab (WeLL) Meterai MoU Pertingkat Strategi Bangunkan Kesihatan Digital

LEIDEN, 3 OKTOBER 2022 – Sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan World eHealth Living Lab (WeLL)

, Leiden University Medical Center, Belanda, telah berlangsung pada 29 September 2022 (6.00 PM waktu Malaysia/ 12 PM waktu Belanda). LUMC diwakili oleh Prof. Dr. N.H. Chavannes, Prof. Dr. D.E. Atsma, Hine van Os serta LUMC Global manakala UiTM diwakil oleh Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim, Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA); Prof. Madya Dr. Fazah Akhtar Hanapiah, Dekan Fakulti Perubatan; Prof. Madya Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail, Timbalan Pengarah (Klinikal) HASA; Prof. Madya Dr. Suraya Abdul Razak, Ketua Jabatan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Inovasi HASA dan Dr. Hajah Zainab Mohd Noor, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa.

MoU yang dimeterai ini bakal menyediakan banyak peluang kerjasama UiTM menerusi Hospital Al-Sultan Abdullah dan Fakulti Perubatan khususnya dalam bidang inovasi dan pendidikan dengan LUMC dan WeLL. MoU ini merupakan langkah konkrit pertama yang akan membawa kepada kerjasama strategik UiTM dengan World eHealth Living Lab (WELL) di LUMC menerusi perkongsian pengetahuan struktur dan kerjasama pemantauan pesakit jauh.

World eHealth Living Lab (WeLL) adalah merupakan platform antarabangsa bebas di mana semua pihak mahupun individu yang terlibat atau berminat dalam aplikasi eHealth berasaskan bukti dan kesihatan digital boleh mencari dan berkongsi berita dan maklumat, pandangan serta inspirasi. Individu dan pihak yang mengambil bahagian dalam WeLL menyumbang kepada kerjasama inovatif ini melalui perkongsian pengetahuan, pertukaran kakitangan dan pelajar PhD, penulisan bersama cadangan dan kertas saintifik, dan mengambil bahagian dalam eHealth konkrit dan projek berkaitan kesihatan digital.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sempena sesi MoU, beliau menyatakan bahawa UiTM merasa bangga dapat bekerjasama dengan pihak World eHealth Living Lab (WELL) di LUMC khususnya dalam bidang kesihatan digital dan inovasi. Beliau yakin bahawa inisiatif kerjasama diperingkat antarabangsa ini adalah satu langkah tepat yang mampu mendorong UiTM mencapai aspirasi menjadi Global Renowned University 2025.

Dalam usaha melipat gandakan inisiatif inovasi dan penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan, UiTM menerusi Hospital Al-Sultan Abdullah sebelum ini telah memeterai MoU dengan beberapa pihak dari luar negara seperti Juntendo University Nerima Hospital (Jepun), DocDoc Ptd Lte (Singapura), Erasmus University Medical Center (Belanda) dan dari dalam negara termasuk Syarikat Info Kinetics Sdn Bhd, Syarikat Biosensors Interventional Sdn Bhd, MRANTI corporation, Syarikat DHPL Malaysia Sdn Bhd (Docquity) dan Syarikat Awantec Sdn Bhd.

UiTM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan institusi pendidikan mahupun pihak industri diperingkat global. Kerjasama ini bakal memberi peluang kepada para ahli akademik dan penyelidik pelbagai bidang untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan yang berimpak tinggi dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

webmedia@uitm.edu.my

Tel: +603-5544 2000