Latest News

Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor Terima Manfaat Peranti Siswa Keluarga Malaysia

PUNCAK ALAM, 3 NOVEMBER 2022 – Seramai lebih daripada 4,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor (UCS) menerima manfaat daripada Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia.

Program ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga golongan B40 bagi menerima peranti tablet secara percuma.

Sesi penyerahan peranti telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia bertempat di Dewan Kuliah 500 UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam (UCS) dan telah disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Yang Berbahagia Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Rektor UCS, Yang Berbahagia Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Barisan Pengurusan UCS serta seramai 300 orang mahasiswa UCS sendiri.

Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz juga memaklumkan syarikat Futurise Sdn Bhd., sebuah agensi di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia bakal membangunkan industri baharu iaitu dronetech. “Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor bakal menjadi universiti pertama di Malaysia untuk menjadi hub latihan pengoperasian drone ini. Initiatif Dronecubator akan menjadi sebuah projek yang mendedahkan dan mendidik pelajar-pelajar universiti awam dan institusi swasta kepada bidang dronetech serta meningkatkan kemahiran belia Malaysia dalam mengendalikan operasi dron.”

Yang Berbahagia Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM berharap dengan penerimaan peranti tablet jenis Samsung Tab A8 LTE, dapat membantu mahasiswa bagi proses pembelajaran yang lebih berkesan seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi di negara. UiTM juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas segala bantuan berterusan yang telah dicurahkan demi memajukan institusi ini.

 

More News

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

webmedia@uitm.edu.my

Tel: +603-5544 2000