Latest News

UiTM Shah Alam menerima Pensijilan Energy Management Gold Standard (EMGS) 1- bintang

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2024 - Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima anugerah pensijilan Energy Management Gold Standard (EMGS) dengan penarafan 1-bintang. Ini merupakan pencapaian yang signifikan dan merupakan langkah awal dalam komitmen universiti

terhadap amalan tenaga lestari. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad kepada UiTM yang diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UiTM. Pengiktirafan ini membuktikan tahap dedikasi dan usaha yang berterusan universiti dalam pengurusan hal-ehwal kecekapan tenaga dan pengurusan alam sekitar.

Sejak penubuhannya pada 2014, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi yang dilantik yang bertanggungjawab menjalankan program ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS), telah mengalukan penyertaan dari pelbagai agensi dan badan termasuk kerajaan dan swasta dalam program EMGS. Melalui pelaksanaan program ini, Malaysia telah berjaya mencatatkan pengurangan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 203 Gigawatt jam setiap tahun. Tambahan pula, langkah-langkah penjimatan tenaga ini juga telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 115 kiloton karbon dioksida setiap tahun, dan secara tidak langsung, melalui pendekatan yang proaktif dari pihak UiTM ini juga, pihak universiti turut bersama terlibat dalam usaha menangani perubahan iklim.

Sebagai langkah seterusnya, UiTM telah menetapkan sasaran untuk mencapai penarafan 2-bintang untuk EMGS menjelang tahun 2025. Matlamat ini sebagai bukti dan komitmen teguh dari pihak universiti untuk meningkatkan amalan pengurusan tenaga yang baik dan efisien serta sebagai salah satu langkah mengurangkan jejak karbon.

 Komitmen dari pelbagai pihak melalui usaha bersepadu dalam pemuliharaan tenaga dan sifat bertanggungjawab terhadap alam sekitar dilihat sebagai indikator utama dalam pencapaian ini kepada universiti. Lantaran itu, inisiatif Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur, UiTM telah menjadi aspirasi kepada institusi lain untuk mengutamakan langkah pengurusan tenaga yang lestari. Pencapaian universiti ini melalui Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur telah menjadi aspirasi kepada warga UiTM untuk mengutamakan langkah pengurusan tenaga yang lestari.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000