Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pendidikan tinggi dan agenda pendidikan inklusif apabila menerima pengiktirafan
di Malaysia Education & TVET Awards 2024 (META 2024) bertempat di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024 yang lalu.
Melalui Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (BBPO) atau UiTM Disability Services and Development Division (U-DServeD) ini, UiTM telah dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi kategori Outstanding Services and Support in Higher Education for Persons with Disabilities (PWDs). Pengiktirafan ini merupakan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen berterusan U-DServeD yang tidak pernah luntur dalam usaha memberikan perkhidmatan dan sokongan terbaik kepada warga OKU UiTM – merangkumi pelajar OKU, staf OKU dan juga staf yang mempunyai tanggungan OKU. Sekali gus, menetapkan satu penanda aras baharu bagi institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
META 2024 – sebuah acara berprestij yang bertujuan mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam pendidikan dan TVET. Acara ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Majlis ini merupakan acara yang gilang-gemilang, mengumpulkan pendidik, pentadbir, dan pihak berkepentingan yang memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan Pendidikan dan TVET di Malaysia. U-DServeD diwakili oleh Pengarah, Prof. Madya. Ts. Dr. Roslinda Alias bagi menerima anugerah ini.
Anugerah ini amat bermakna kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Penubuhan UiTM sebagai Universiti dan juga Ulang Tahun ke-5 penubuhan Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM ataupun U-DServeD, yang dahulunya dikenali sebagai Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO). Sepanjang tempoh ini, bahagian ini telah berkembang dengan progresif dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang inklusif dan menyokong warga OKU UiTM.
Pencapaian U-DServeD ini, selaras dengan misi UiTM dalam mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan berpaksikan nilai-nilai tempatan. Kejayaan ini juga dapat dilihat sebagai penzahiran komitmen dan kepedulian UiTM dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang holistik dan menyokong untuk semua pelajar dan stafnya, tanpa mengira keupayaan mereka.
Pengiktirafan ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai perintis dalam pendidikan tinggi, membuka jalan untuk inisiatif masa depan yang akan terus mengangkat dan memperkasakan warga OKUnya. Jom Cakna OKU!