Latest News

UTAMA [اوسها تقوى مليا]: UiTM Cawangan Sabah Menjadi Kampus Pertama Dalam UiTM yang Merealisasikan Perlaksanaan Modul Aspirasi UTAMA

10 November 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah hari ini telah melaksanakan Modul Aspirasi UTAMA kepada para mahasiswa semester 1 dan

semester 2. UiTM Cawangan Sabah telah mencatatkan sejarah dalam perlaksanaan modul ini dimana menjadi kampus cawangan pertama yang melaksanakan Modul Aspirasi UTAMA ini setelah dilancarkan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib bersempena dengan Minggu Destini Siswa (MDS) dan juga Sambutan Ulang Tahun UiTM yang ke 25.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) telah melaksanakan koordinasi pengoperasian dan pengurusan bersama UiTM Cawangan Sabah bagi memastikan pelaksanaan Modul Aspirasi UTAMA ini dapat dilaksanakan dengan jayanya bermula Semester Oktober 2024. Pelaksanaan Modul Aspirasi 1 dan Aspirasi 2 yang dilaksanakan secara hibrid ini melibatkan sesi Perbincangan Dalam Kumpulan (PDK) secara fizikal dalam tempoh 2 jam bagi setiap modul dan disambung dengan sesi tugasan individu yang dijalankan secara dalam talian melalui platform UiTM BOOM (BHEP Open Online Module) dalam tempoh 30 hari.

Menurut Ketua Unit Kepimpinan (KUKP) UiTM Cawangan Sabah, Ts. Dr. Rozlianah Fitri Said, seramai 20 orang fasilitator yang dilantik untuk terlibat dalam pengendalian modul ini yang dilaksanakan secara  2 siri dan 4 sesi yang berbeza kerana melibatkan sejumlah 1350 keseluruhan mahasiswa Tahun 1 di UiTM Cawangan Sabah bagi semua program diploma dan Ijazah Sarjana Muda disini.

Menurut Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM dalam siri Transformasi Anak Muda UiTM (TAMU) dan Jelajah ABATA (Agama, Bangsa dan Tanahair) yang  dijalankan di semua kampus UiTM, Modul Aspirasi UTAMA ini merupakan agenda utama JHEP UiTM dan memfokuskan ke arah memperkukuhkan pembangunan karakter mahasiswa UiTM khususnya dalam aspek pemantapan DNA UiTM dalam diri setiap mahasiswa selain menerapkan nilai nilai kepimpinan mahasiswa, penjagaan kesihatan mental dan juga cabaran mendepani isu-isu semasa dan keselamatan negara. Selain memperkukuhkan pencapaian akademik mahasiswa UiTM, modul ini juga mempersiapkan mereka dengan kemahiran insaniah yang diperlukan bagi mendepani cabaran masa hadapan. Ia juga menggalakkan pembinaan sahsiah yang unggul melalui nilai ADAB serta kepimpinan yang berteraskan nilai i-DART dan tanggungjawab sosial berdasarkan kandungan dan tugasan modul yang telah dibangunkan.

Prof Madya Dr Alwi Mohd Yunus yang Pengarah di Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) UiTM, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada UiTM Cawangan Sabah atas komitmen yang ditunjukkan khususnya menjadi kampus pertama dalam sistem UiTM dalam menjayakan Modul Aspirasi UTAMA ini. Menurut beliau lagi, pelaksanaan Modul Aspirasi UTAMA ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan dokongan daripada pengurusan tertinggi UiTM, terutamanya Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan semua yang terlibat dalam membangunkan modul ini. Ini merupakan hasil usaha sinergi kerja berpasukan yang dilakukan sejak dahulu hingga kini bagi memastikan kemenjadian pelajar UiTM benar-benar mampan.

Insitut Kepimpinan Pelajar (IKP) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM sentiasa menggunakan pelbagai kaedah untuk memperkasakan mahasiswa UiTM melalui pelbagai program pembangunan, kepimpinan, sahsiah, intelek dan jatidiri. Bersama-samalah kita terus melangkah ke hadapan, mencipta sejarah dan menggapai impian yang lebih besar agar UiTM terus menggapai kelangit, mengakar ke bumi, “Globally Renowned, Locally Rooted” lantas menjadikan mahasiswa UiTM ini benar benar menjiwai DNA UiTM.

Syabas JHEP UiTM!

 

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000