Shah Alam, 29 November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan “Setahun NC7 Bersama UiTM” di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) telah dimulakan dengan selawat dan bacaan al-Quran. Majlis ini merupakan satu penghargaan kepada pencapaian dan
usaha yang telah dilakukan sepanjang setahun kepimpinan Naib Canselor UiTM ke-7, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin. Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan Ahli Mesyuarat Eksekutif Universiti serta seluruh warga UiTM.
Majlis bertujuan untuk mengimbas pencapaian dan pemerhatian Naib Canselor sepanjang tahun lalu, sambil mengukuhkan aspirasi untuk masa hadapan. Dalam ucapan beliau, beliau memberi penekanan terhadap isu pendanaan dan pengstrukturan universiti serta pemerkasaan adiwangsa.
Beliau juga menekankan beberapa pencapaian universiti yang berlandaskan 9R iaitu Royal, Religion, Race, Relevant, Referred, Respected, Reuse, Recycle dan Reduce, yang telah diperoleh, antaranya kecemerlangan universiti pada peringkat global dan kerjasama dengan pelbagai institusi antarabangsa dan rasa syukur atas kerjasama semua pihak yang telah berjaya merealisasikan pelbagai inisiatif universiti.
Beliau juga memberi penekanan kepada perancangan yang baik perlu dihasillkan untuk perancangan UiTM 5 tahun ke hadapan melalui kerangka/ aspirasi UiTM2030 selain mahukan semangat kebersamaan ditonjolkan oleh semua warga merentasi semua PTj seluruh Malaysia demi perjuangan Pendidikan Bumiputera.
Majlis ini diteruskan dengan sesi perkongsian strategi yang dirangka untuk memperkukuhkan kedudukan UiTM sebagai universiti yang relevan dan dihormati, termasuk penglibatan dalam isu-isu sosial semasa. Salah satu sorotan penting dalam majlis ini ialah sesi townhall, di mana warga UiTM diberikan peluang untuk mengemukakan soalan kepada barisan kepimpinan universiti.
Antara soalan yang timbul, Encik Saharuddin daripada MITASA bertanya mengenai syarat kenaikan pangkat yang menggunakan pendekatan “One Fit for All”, yang dilihat menyukarkan pensyarah dari kampus cawangan untuk memenuhi syarat tersebut. Soalan ini mendapat perhatian daripada pihak pengurusan universiti untuk dipertimbangkan dalam usaha menambah baik sistem kenaikan pangkat di masa hadapan.
Di penghujung majlis, Prof. Datuk Dr. Shahrin turut menyeru semua warga UiTM untuk menunjukkan semangat kesukarelawan, terutamanya berikutan bencana banjir yang melanda Kelantan, Perlis, dan Terengganu, yang memberi kesan besar kepada masyarakat. Beliau menekankan bahawa UiTM perlu menjadi contoh dalam membantu mereka yang memerlukan, terutama dalam saat-saat sukar seperti ini.
Untuk rekod, Prof. Datuk Dr. Shahrin mula menyandang jawatan Naib Canselor UiTM pada 2 November 2023 dan sebelum itu, beliau pernah menjawat sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama lima tahun.
Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan dalam majlis ini, UiTM terus berada di landasan yang tepat untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi dan memartabatkan bumiputera di pentas dunia selari dengan tema “menggapai ke langit, mengakar ke bumi”.