Latest News

Forum Wanita & Impian: Berani Bermimpi dan Berani Bertindak

Shah Alam, 13 Disember 2024 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Seroja Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan sebuah forum bertajuk “Wanita & Impian: Berani Bermimpi, Berani Bertindak”.

Forum ini diadakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) UiTM Shah Alam dan semua JPK Kediaman UiTM Shah Alam berserta pihak Non-Residen (NR).Panel jemputan yang hadir dalam forum tersebut merupakan figura yang tidak asing lagi di UiTM iaitu YBhg. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, iaitu mantan Naib Canselor UiTM, dan Puan Zarina Zainuddin, seorang pelakon dan personaliti media sosial yang dikenali kerana pengalamannya membesarkan dua anak yang menghidap penyakit Autisme.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBrs. Prof. Hj. Dr. Mohd Sazili Shahibi. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru dan menekankan pentingnya untuk pelajar “bermimpi” demi mengapai kejayaan gemilang dan berusaha untuk mencapai mimpi tersebut.

Moderator forum, saudari Nur Athirah Sofiya binti Abdul Rashid dari Kolej Kediaman Seroja, mengetuai sesi pusingan pertama forum yang dimulakan oleh YBhg. Datuk Roziah. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan pelajar memiliki visi dan misi yang jelas sepanjang tempoh pengajian. Hal Ini perlu dilakukan dengan membina garis masa yang bersifat komprehensif, serta meliputi rancangan untuk peribadi, keluarga dan pengajian agar para pelajar nampak dengan lebih jelas matlamat serta arah tuju yang ingin dicapai. YBhg. Datuk juga turut berkongsi berkaitan keberkatan masa dan menghargai setiap masa yang ada supaya setiap matlamat yang ingin dicapai dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan. Beliau juga turut menekankan kepentingan kerjasama dan saling mempercayai demi mencapai kejayaan gemilang dalam sesuatu organisasi.

Sementara panel kedua iaitu Puan Zarina Zainuddin pula berkongsikan kisah jatuh bangun beliau, serta pengalaman suka dan duka dalam kehidupan. Wanita kuat ini menekankan pentingnya bagi setiap insan terutamanya para wanita untuk tidak berputus asa dan terus bangkit lebih kuat apabila kita mempunyai matlamat hidup yang jelas. Beliau juga turut menasihatkan pelajar supaya sentiasa menghargai dan menghormati ibu-bapa supaya kehidupan kita akan direstui. Selain itu, Puan Zarina turut menekankan pentingnya berinovasi untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul.

Forum ini berjaya menarik kehadiran 523 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Kediaman dan Non-Residen UiTM Shah Alam. Selain daripada memberi ilmu tentang pengurusan masa, matlamat hidup dan hubungan interpersonal, program ini turut menyokong dan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 4.0 (Gender Equality) dan SDG 10 (Reduced Inequalities).

Dengan penganjuran yang berjaya, forum “Wanita & Impian: Berani Bermimpi, Berani Bertindak” menjadi platform yang mampu mencetuskan inspirasi dan semangat dalam kalangan pelajar untuk mencapai kecemerlangan.

Disediakan oleh: Dr. Firdaus bin Mohamad, Pengetua Kolej Kediaman Seroja & Meranti

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000