Latest News

Bas RAPID KL Laluan 750 Kini Menyusur Kampus UiTM Keselesaan Mobiliti Pelajar Dipertingkat

KUALA LUMPUR, 5 MEI 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut baik perluasan laluan perkhidmatan bas Rapid KL laluan 750 (Hab Seksyen 2 – Pasar Seni)

yang kini secara rasmi dipanjangkan ke dalam Kampus Induk UiTM Shah Alam, bermula hari ini.

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Rapid KL dan pihak pengurusan UiTM bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan kepada pelajar serta staf kampus. Perkhidmatan ini juga dijangka memberi kesan positif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam kampus selain memudahkan pergerakan pelajar ke destinasi penting seperti Kuala Lumpur melalui laluan terus ke Pasar Seni.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, berkata, “Pihak universiti mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rapid KL atas usaha ini. Ia bukan sahaja meningkatkan keselesaan pergerakan pelajar, malah menyokong gaya hidup lestari melalui penggunaan pengangkutan awam. Kemudahan ini sejajar dengan aspirasi UiTM untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan menyeluruh.”

Tinjauan awal mendapati rata-rata pelajar menyambut baik inisiatif ini, dengan ramai menyatakan ia membantu mereka menjimatkan masa dan kos perjalanan. Malah, penawaran pakej My50 turut diedarkan kepada warga kampus menerusi edaran risalah oleh petugas Rapid KL yang hadir di sekitar UiTM hari ini.

Perkhidmatan bas Rapid KL laluan 750 kini menjadi alternatif utama kepada pelajar yang ingin ke pusat bandar tanpa perlu keluar dari kawasan kampus. Maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan dan kadar tambang boleh diperoleh melalui saluran rasmi Rapid KL atau laman media sosial UiTM.

Pelaksanaan laluan baru ini mencerminkan komitmen UiTM dan Rapid KL dalam menyediakan ekosistem kampus yang lebih kondusif, mesra pelajar dan berdaya saing, selaras dengan dasar kerajaan ke arah pengangkutan awam yang lebih sistematik dan bersepadu.

Contact Us

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000