KOTA KINABALU, 16 Mei 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Cawangan Sabah terus mencipta kejayaan apabila menerima sumbangan peralatan ICT (server) bernilai RM2.2 juta daripada
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Sumbangan ini telah dilaksanakan melalui kaedah pelupusan secara serahan rasmi dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung semasa Program Career Pitch FSKM: Bridging Students and Industry bertempat di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah.
Program ini merupakan platform pemerkasaan pelajar melalui pendedahan terus kepada pemain industri dengan pengisian utama termasuk sesi pembentangan projek pelajar, penyerahan resume kepada industri dan lawatan ke Industrial Outlook Classrooms. Antara rakan industri yang turut serta ialah Cipta Impact Sdn. Bhd., Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKNS), Sri Komputer Sdn. Bhd., Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), L.A.K Weighing System Sdn. Bhd., Jabatan Meteorologi Malaysia, Einstronic Sdn. Bhd., Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd., Yayasan Sabah dan JUPEM.
Menurut Dr. Ung Ling Ling, Koordinator Prasiswazah FSKM, “Sumbangan ini mencerminkan keyakinan JUPEM terhadap kapasiti FSKM dalam melahirkan graduan berdaya saing. Ia juga membuktikan keberkesanan usaha fakulti dalam memperkukuh jaringan industri yang signifikan.”
Dr. Munirah Rossdy, Pengerusi Program Career Pitch FSKM, menyifatkan penganjuran tahun ini sebagai amat bermakna, “Career Pitch bukan sahaja merapatkan jurang antara pelajar dan industri, malah kehadiran JUPEM bersama sumbangan bernilai RM2.2 juta membuka ruang luas untuk pengukuhan kemahiran pelajar selaras dengan keperluan masa hadapan.”
Sementara itu, Saudara Brandon Alexander Damianus, Pengerusi Computer Science Association (CoSA), turut menyatakan bahawa program ini berjaya dilaksanakan secara teratur dan menyeronokkan, memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua pelajar FSKM.
Sumbangan peralatan ICT daripada JUPEM merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran digital di UiTM Cawangan Sabah, khususnya dalam bidang Sains Komputer. Peralatan ini dijangka memberi impak signifikan terhadap keberkesanan pengajaran, penyelidikan dan pemerkasaan kemahiran digital pelajar. Kerjasama ini diharap akan menjadi pemangkin kepada pelbagai lagi usaha kolaboratif antara universiti dan industri pada masa hadapan.