Tanjong Malim, 10 Ogos 2025 – Seramai 15 atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyertai Kejohanan Boling Majlis Sukan Universiti Malaysia
(MASUM) 2025 bagi kategori staf yang berlangsung di UPSI Sports Bowl, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pasukan UiTM mengambil bahagian dalam acara Trio Staf, sekali gus mempamerkan semangat kesukanan dan kebersamaan warga dari pelbagai universiti tempatan. Selain UiTM dan tuan rumah UPSI, kejohanan ini turut disertai oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Pengurus Atlet UiTM, Razif Sazali berkata, “Inisiatif hebat daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini berjaya mengeratkan ukhuwah staf universiti awam melalui sukan boling yang melibatkan staf IPTA.
“Kejohanan seperti ini wajar diteruskan di peringkat staf yang boleh dijadikan sebagai medium interaksi antara staf IPTA,” jelas beliau.
Kejohanan ini menjadi platform penting dalam memupuk ukhuwah, mengeratkan hubungan, dan bertukar pengalaman antara staf universiti melalui aktiviti sukan yang sihat. Sepanjang kejohanan, para atlet UiTM menunjukkan prestasi permainan yang membanggakan, selain memberi peluang kepada semua peserta untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi.
Secara keseluruhan, UiTM telah memenangi tempat kedua dan UMPSA menduduki tempat pertama. UiTM merakamkan penghargaan kepada penganjur, pihak MASUM dan UPSI, atas pengelolaan kejohanan yang teratur dan meriah. Semoga kejohanan ini terus menjadi agenda tahunan yang memperkukuh semangat sportmanship dan silaturahim antara universiti di Malaysia.