SHAH ALAM, 3 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah meraikan para alumni dalam satu majlis penuh berprestij sempena
Majlis Sambutan Alumni Jemputan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ke-102 yang berlangsung meriah hari ini.
Majlis ini menghimpunkan alumni dari pelbagai bidang sejak era 1980-an, termasuk Kolej Pengajian Persediaan (KPP), Seni Bina, Pengurusan Pelancongan, Pengajian Perniagaan, Komunikasi dan Media, sekali gus memperkukuh ikatan antara universiti dan graduan terdahulu.
Antara alumni yang diraikan termasuk tokoh berpengaruh dalam industri media, korporat dan akademia, yang kini menerajui organisasi ternama sebagai Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi. Kehadiran mereka menjadi simbol kepada legasi kecemerlangan UiTM dalam melahirkan pemimpin berwibawa.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Bin Sahib @ Sahibuddin, dalam ucapannya menegaskan bahawa alumni merupakan aset bernilai dan duta institusi yang mengangkat nama UiTM di persada dunia. Beliau turut menyorot sejarah penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini berkembang sebagai UiTM, dan menyeru agar hubungan alumni dan universiti terus diperkukuh melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta kerjasama strategik.
Majlis turut menyaksikan ucapan wakil alumni, Ts. Azhar Jemani, Pengarah Urusan Synar Setara Resources Sdn Bhd, yang meluahkan rasa terharu dan bangga atas peluang kembali ke istiadat konvokesyen selepas hampir dua dekad bergraduasi. Beliau juga berkongsi sumbangan berterusan kepada universiti melalui kepakaran, khidmat nasihat dan pembayaran zakat pendapatan melalui ZAWAF UiTM.
Sehingga 18 Ogos 2025, UiTM telah merekodkan seramai 850,773 alumni, menjadikannya antara penyumbang terbesar kepada pembangunan modal insan negara. Majlis turut meraikan enam alumni yang menyertai program CEO@Faculty UiTM, yang berkongsi kepimpinan dan pengalaman bersama warga akademik dan mahasiswa.
Penganjuran majlis ini direalisasikan oleh Pusat Jaringan Alumni, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) dengan sokongan kepimpinan YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN, dan YBrs. Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti, Pengarah ANC.
UiTM turut menyeru semua alumni untuk mendaftar melalui MyAlumni UiTM Virtual Card bagi menyertai pelbagai program yang dirancang, sekali gus memperkukuh jaringan dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.