Select your language

Logo UiTM

Image

  1. Bentuk berlian di kemuncak lima buku melambangkan kualiti hasil daripada penimbaan ilmu di UiTM.

  2. Lima buku melambangkan kepelbagaian bidang ilmu dan peringkat pengajian yang ditawarkan seperti sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Ia juga melambangkan Rukun Islam yang menjadi teras pembangunan pelajar.

  3. Buku yang diletakkan di atas rehal menjadi asas kepada pembentukan logo UiTM. Penggunaan buku melambangkan sumber ilmu. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menjadi teras segala ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi, berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

  4. Penggunaan rehal melambangkan universiti sebagai dataran untuk menyampaikan dan memancarkan ilmu.

  5. Dua bilah keris bersilang melambangkan kedaulatan raja Melayu dan perjuangan bangsa Melayu untuk menegakkan kecemerlangan dan kedaulatan bangsa.

  6. Bentuk berlian separuh digilap melambangkan peranan UiTM untuk memajukan bumiputera supaya menjadi satu bangsa yang cemerlang, berusaha, bertakwa dan mulia.

  7. Bentuk bulat dalam logo melambangkan UiTM sebagai sebuah universiti bersifat global, unggul dan berdaya saing.

Warna Logo:

  • Biru tua membawa maksud kematangan sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai peringkat pengajian.

  • Ungu melambangkan kecemerlangan ilmu yang berbentuk global.

  • Kuning melambangkan kedaulatan raja Melayu dan perjuangan bangsa Melayu dalam mencemerlangkan kualiti pendidikan negara.

  • Putih membawa maksud kesucian dan kemurnian ilmu yang ditawarkan kepada pelajar.

Bentuk asal logo ITM dikekalkan supaya identiti keilmuan dan gedung ilmu berterusan.

Image
Image

Cokmar

Cokmar atau lambang kuasa UiTM bermotifkan sebilah keris yang dinamakan “Keris Agung” dan diiringi dengan “Tombak Agung”. Kedua-duanya melambangkan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera yang terulung, kukuh dan murni.

Keris Agung

Keris Agung yang bersarung melambangkan kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu. Motif ukiran yang terdapat pada “Keris Agung” ini menepati makna dan tujuan penciptaannya. Motif ukiran ini menggambarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM sekali gus melambangkan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera yang terulung.

Ciri-ciri keaslian dan ketulenan keris Melayu sebagaimana yang terdapat pada “Keris Agung” melambangkan falsafah penubuhan UiTM. Ia digarap daripada idea penciptaan sebilah keris yang bernama “Keris Potong Barat”.

Motif ukiran pada hulu keris ialah motif bunga petola kuning, pendongkoknya bermotifkan pucuk rebung dan sarungnya bermotifkan bunga tanjung.

Motif bunga petola kuning pada hulu keris mewakili warna kuning diraja, menggambarkan lambang Kesultanan Melayu. Motif pucuk rebung melambangkan proses pendidikan yang membentuk mahasiswa menjadi graduan profesional. Motif bunga tanjung pada sarung keris pula melambangkan identiti negeri Selangor, bersesuaian dengan kedudukan kampus induk UiTM yang berpusat di negeri Selangor Darul Ehsan.

Kewibawaan makna identiti keris terserlah dengan logo UiTM pada ukiran perak, bahagian pangkal sarung keris. Bahagian tengah sarungnya pula tertera tulisan khat thuluth yang mempamerkan moto UiTM, iaitu “Usaha, Takwa, Mulia”.

Tombak Agung

Tombak Agung yang terdiri daripada sepasang tombak; satu berlok lima dan satu lagi bermata daun buluh, merupakan lambang kepada nilai keagamaan, keilmuan, keperibadian serta kedaulatan bangsa dan negara.

Motif keseluruhan batang tombak diambil daripada reka bentuk kubah yang membawa maksud UiTM sebagai wadah pemberian dan penerimaan ilmu ke arah membina kebaikan dan menolak kemungkaran, khususnya dalam kalangan mahasiswa.

Mata tombak berlok lima mencerminkan lima Rukun Islam. Manakala yang bermata daun buluh menggambarkan kekayaan seni reka Melayu yang asli. Penghias tombak ialah ukiran destar perak bermaksud raja-raja Melayu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam dan simbol ketinggian tamadun bangsa Melayu.

Bahagian batang tombak pula dihiasi dengan ukiran perak bunga tanjung, manakala bahagian atasnya terdapat logo dan moto UiTM “Usaha, Takwa, Mulia” ditulis dengan khat thuluth. Logo dan moto ini menggambarkan keunggulan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang diwujudkan berlandaskan aspirasi untuk menghasilkan graduan bumiputera yang menguasai maklumat dan teknologi.

UiTM Dihatiku

Wujudmu di sini di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu memayungi putra-putrinya
Pelopor hidup, budaya bangsa, agama, negara
Pembentuk akhlak manusia agar jadi sempurna
Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari
Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmuMU untukku menuju
Destinasi cita-cita negara dan bangsaku

Majulah bangsa
Maju negara
Berkat usaha jaya MARA
Kami berikrar akan berjasa
Hingga kita Berjaya...demi bangsa

Watikah yang ku miliki kan ku semat di hati
Janjiku pada pertiwi untuk menabur bakti
Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara
Doa restu ayah bonda ku untuk mu semua
UiTM...Usaha Taqwa Mulia

Wawasan Setia Warga UiTM

Bersatu kita warga UiTM
Kita bangsa perkasa
Taat dan setia ku untuk negara
Penuh semangat waja

Kita...
Jangan mudah terlupa
Pengorbanan perjuangan anak bangsa

Kita...
Jangan mudah terleka
Kemajuan keamanan yang ada

Kita...
Berterima kasih
Pada pemimpin-pemimpin negara

Kita...
Rasa penuh bersyukur
Kerahmatan, kemuliaan dariNya

Kamilah
Pendokong, pewaris bangsa
Kamilah
Pendaulat, bangsa Malaysia
Kamilah
Warga berwawasan
Untuk negaraku

Please publish modules in offcanvas position.