Select your language

Sejarah UiTM

1956 - 1965

Dewan Latehan RIDA

Dewan Latehan RIDA

Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) diilhamkan oleh Dato' Onn Ja'afar pengasas dan mantan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Dewan Latehan RIDA ditubuhkan ekoran hasil lawatan ke Ceylon (kini Sri Lanka) untuk program pembangunan dalam negeri pada tahun 1951. Satu kertas kerja lawatan tersebut yang mengandungi tentang penubuhan RIDA dan objektifnya untuk membangunkan serta meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar telah dihasilkan. Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Industri mempunyai dua pusat utama di bawah naungannya, iaitu Taman Asuhan RIDA (Kuala Lumpur) dan Dewan Latehan RIDA (Petaling Jaya).

Dewan Latehan RIDA mula beroperasi pada bulan November 1956 di bawah kelolaan Pengetua Pertama, Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi dan dirasmikan oleh Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Perdagangan dan Industri pada 14 Oktober 1957.

Beberapa kursus profesional oleh badan antarabangsa seperti London Chamber of Commerce, Australian Chartered Secretaryship of Management, The Australian Society of Accountants, and The British Institute of Management telah ditawarkan di Dewan Latehan RIDA.

Pada tahun 1964, Dewan Latehan RIDA telah melangsungkan majlis konvokesyen yang pertama dengan menyaksikan penganugerahan sijil kepada seramai 50 graduan yang disampaikan oleh YAB Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

1956 - 1965

1965 - 1967

Maktab MARA

Maktab MARA

Dewan Latehan RIDA telah ditukar nama kepada Maktab MARA pada bulan Jun 1965. Pertukaran nama ini bertujuan untuk memberi nafas baharu dan aspirasi kepada pusat latihan itu sendiri. Pertukaran ini juga menandakan bahawa institusi ini bukan lagi di bawah bidang kuasa RIDA, sebaliknya menjadi sebuah unit terpenting bagi Bahagian Latihan MARA.

MARA, nama singkatan bagi Majlis Amanah Rakyat telah mengambil alih institusi ini dan mengukuhkan lagi peranan dan tanggungjawab RIDA. Pada tahun 1966, apabila British Institute of Management memansuhkan penawaran peperiksaan jarak jauh atau “External Exam”, kolej MARA mula menjalankan program Diploma Pengajian Perniagaan yang tersendiri. Program tersebut telah mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Ealing Technical College of London yang turut menjadi pemeriksa luar.

Hubungan antarabangsa ini merupakan permulaan kepada pelbagai lagi jaringan kerjasama dengan institusi lain sehingga kini di UiTM.

1967 - 1999

Institut Teknologi MARA

Institut Teknologi MARA

Hasil kajian dan penyelidikan yang diusahakan oleh kerajaan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1965, menyatakan bahawa negara menghadapi masalah kekurangan pekerja terlatih pada tahap profesional dan separa profesional dalam kalangan bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, 300 ekar tanah di Shah Alam telah diluluskan untuk menjadi tapak kampus kolej MARA.

Pada 14 Oktober 1967, batu asas bagi pembinaan kampus telah diletakkan oleh YAB Tun Abdul Razak dan secara rasminya, nama Maktab MARA ditukar kepada Institut Teknologi MARA (ITM).

Penubuhannya adalah Pentewan daripada keperluan tenaga kerja terlatih pada peringkat profesional dan separa profesional, terutamanya dalam kalangan bumiputera. Pembangunan ITM dalam tempoh tahun-tahun tersebut dikatakan berkembang pesat ekoran perkembangan program pembelajaran yang sejajar dengan peningkatan keperluan tenaga kerja pada masa itu. Pelbagai bidang kursus mendapat kerjasama dengan institusi antarabangsa dan ITM telah menawarkan program-program diploma lanjutan setaraf dengan program ijazah.

Pembangunan ITM boleh dilihat dalam jangka masa tiga fasa yang merangkumi tempoh selama 32 tahun secara keseluruhannya. Fasa yang pertama (1967-1976) mengkhususkan pada pendeklarasian ITM sebagai satu badan bebas yang memiliki kampus seluas 300 ekar di Shah Alam dan diletakkan di bawah penjagaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Fasa yang kedua (1976-1996) memperlihatkan ITM dengan kemampuannya dalam bidang pengajian tinggi. Ia telah membawa kepada pelepasan Akta ITM 1976 yang menempatkan ITM di bawah Kementerian Pendidikan.

Fasa ketiga (1996-1999) adalah berikutan daripada keputusan pindaan Akta 1976 yang meletakkan ITM setaraf dengan universiti lain di dalam negara. ITM telah dimandatkan dengan kuasa penuh yang beroperasi sebagai sebuah universiti, namun kekal dengan nama asalnya sehingga 26 Ogos 1999. Berikut adalah perubahan yang dibuat:

  • Badan pentadbiran ITM, Lembaga Majlis, telah ditukar kepada Ahli Lembaga Pengarah dengan pembabitan lebih ramai perwakilan dari sektor swasta;

  • Ahli Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk menggubal bagi pihak institut;

  • Senat telah ditubuhkan;

  • Ramai ketua pegawai ITM mengalami proses pertukaran lantikan. Pengarah ditukar kepada rektor, ketua pegawai kepada provos, manakala ketua dan pensyarah senior ditukar kepada profesor dan profesor madya;

  • Setiap jabatan ditukar kepada nama fakulti;

  • ITM diberi kuasa untuk menganugerahkan ijazah kedoktoran;

  • ITM telah diberi keistimewaan untuk menubuhkan kursus dan kampus cawangan di luar negara dengan kelulusan dari Kementerian Pendidikan;

  • ITM telah diberi kuasa tambahan untuk menjalankan perniagaan, terlibat dalam pelaburan, menubuhkan syarikat dan penyelidikan berunsurkan komersial.

  • Kuasa disiplin telah dipindahkan daripada kementerian kepada lembaga pengarah.

  • ITM diberi kuasa untuk mengenakan surcaj bagi memperbaiki akauntabiliti staf;

  • Hak prosedur pelajar dalam sebarang pembicaraan mengenai perilaku dan disiplin diperketatkan.

Ketika itu, ITM telah menubuhkan sebuah cawangan di setiap negeri. Kampus yang pertama dibina adalah di Sabah pada tahun 1973 dan kampus terakhir adalah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jun 1999. Hampir semua kampus cawangan memulakan operasinya di premis sementara, namun penubuhan ini mempunyai strategi dan pelan yang teratur. Kesemua kampus cawangan kemudiannya berpindah ke lokasi yang tetap kecuali kampus Kuala Pilah.

1967 - 1999

August 26, 1999 - Present

Universiti Teknologi MARA

Pada 26 Ogos 1999, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Aspirasi UiTM adalah untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia serta menjadi universiti terbaik. Justeru, UiTM telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 dan menjadi universiti pertama di dunia yang mendapat pensijilan meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran.

UiTM sentiasa menumpukan kepada kecemerlangan akademik, inovasi, sosial, pengiktirafan antarabangsa, global dan teknologi baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri dan negara.

UiTM
Universiti Teknologi MARA Akta 173

Akta 173 digubal sempena penubuhan UiTM. Akta ini dianggap penting kerana ia menyediakan garis panduan untuk penyelenggaraan dan kelancaran pentadbiran serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Akta ini juga bertindak sebagai perakuan peralihan institusi kepada sebuah universiti, serta pemberian kuasa yang membolehkan ia berfungsi seperti universiti lain, termasuklah penawaran kursus-kursus pengajian dan penganugerahan ijazah pada semua peringkat.

Please publish modules in offcanvas position.