Berita Konvokesyen

Kembar terima Anugerah Naib Canselor

Shah Alam: Sikap suka mengira sejak kecil ternyata membawa keuntungan buat pasangan kembar, Nur Suhaini Narini Suhaimi, 22, dan Nur Suhaina Narina, 22, apabila mereka muncul pelajar terbaik Diploma Perbankan, Fakulti Pengurusan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.8.

Lebih manis kejayaan itu membolehkan mereka menerima Anugerah Naib Canselor di Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97, di sini, hari ini.

Nur Suhaini berkata, jurusan perbankan menjadi pilihan pertama mereka ketika memohon melanjutkan pengajian di UiTM.

"Kami memang suka mengira sejak dari bangku sekolah lagi, jadi jurusan 'banking' ini merupakan pilihan pertama kami," katanya.

Menurutnya, istiadat konvokesyen ini merupakan hari paling dinantikan berikutan dapat bersua kembali bersama rakan seperjuangan dan tenaga pengajar ketika menuntut di UiTM Cawangan Pahang.

Suhaini berkata, di dalam pengajian mereka, Suhaina seorang yang lebih mudah faham berbanding dirinya sekali gus membantu dalam pembelajaran.

"Jika ada perkara yang saya tak berapa pasti dalam sesuatu subjek, saya akan rujuk Suhaina memandangkan dia lebih cepat untuk faham," katanya.

Menurutnya, tidak malu bertanya dan sentiasa fokus di dalam kelas adalah antara ramuan utama bagi kejayaan mereka.

Pasangan kembar itu sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) di UiTM Kampus Puncak Alam.

 

Read More

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000