Sejarah

1956 - 1965

Dewan Latehan RIDA

Penubuhan Dewan Latehan RIDA ditubuhkan ekoran hasil lawatan ke Ceylon (kini Sri Lanka) untuk program pembangunan dalam negeri pada tahun 1951. Satu kertas kerja lawatan tersebut yang mengandungi tentang penubuhan RIDA dan objektifnya untuk membangunkan serta meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar telah diketemukan. Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Industri mempunyai dua pusat utama di bawah naungannya iaitu Taman Asuhan RIDA (Kuala Lumpur) dan Dewan Latehan RIDA (Petaling Jaya).



Dewan Latehan RIDA mula beroperasi pada bulan November 1956 dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri pada 14 oktober 1957. Beberapa kursus profesional yang ditawarkan oleh badan antarabangsa seperti London Chamber of Commerce, Australian Chartered Secretaryship of Management telah ditawarkan di Dewan Latehan RIDA. Pada tahun 1964, Dewan Latehan RIDA telah melangsungkan majlis konvokesyennya yang pertama dan telah menyaksikan seramai 50 orang graduan dianugerahkan sijil oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

1956 - 1965

1965 - 1967

Maktab MARA

Dewan Latehan RIDA telah ditukar nama kepada Maktab MARA pada bulan Jun 1965. Menurut Y.A.B. Tun Abdul Razak, pertukaran nama ini adalah bertujuan untuk memberi nafas baru dan aspirasi kepada pusat latihan itu sendiri. Pertukaran ini juga menandakan yang institusi ini bukan lagi di bawah bidang kuasa RIDA, sebaliknya menjadi sebuah unit terpenting bagi Bahagian Latihan MARA.



MARA, nama singkatan bagi Majlis Amanah Rakyat telah mengambil alih institusi ini dan mengukuhkan lagi peranan dan tanggungjawab RIDA. Pada tahun 1966, apabila British Institute of Management memansuhkan penawaran peperiksaan jarak jauh atau “External Exam”, kolej MARA mula menjalankan program Diploma Pengajian Perniagaan yang tersendiri. Program tersebut telah mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Ealing Technical College of London yang turut menjadi pemeriksa luar.

1967 - 1999

Institut Teknologi MARA

Hasil dari kajian dan penyelidikan yang diusahakan oleh kerajaan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1965 menyatakan bahawa negara menghadapi masalah kekurangan pekerja terlatih pada tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, 300 ekar tanah di Shah Alam telah diluluskan untuk menjadi tapak kampus kolej MARA. Pada 14 Oktober 1967, batu asas bagi pembinaan kampus telah diletakkan oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak dan dengan itu, nama Maktab MARA secara rasminya ditukar kepada Institut Teknologi MARA.



Pembangunan ITM dalam tempoh tahun-tahun tersebut dikatakan berkembang pesat ekoran perkembangan program pembelajarannya, yang sejajar dengan peningkatan keperluan tenaga kerja pada masa itu. Pelbagai bidang kursus mendapat hasil kerjasama dengan institusi antarabangsa dan ITM telah menawarkan program-program Diploma lanjutan setaraf dengan program ijazah. Pembangunan ITM boleh dilihat dalam jangka masa tiga fasa yang merangkumi tempoh selama 32 tahun secara keseluruhannya. Fasa yang pertama (1967-1976) khusus kepada pendeklarasian ITM sebagai satu badan bebas yang memiliki kampus seluas 300 ekar di Shah Alam dan diletakkan di bawah penjagaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Fasa yang kedua (1976-1996) memperlihatkan ITM dengan kemampuannya di dalam bidang pengajian tinggi. Ia telah membawa kepada pelepasan Akta ITM 1976 yang menempatkan ITM di bawah Kementerian Pendidikan. Fasa yang ketiga (1996-1999) mengambil tempat berikutan dari keputusan pindaan Akta 1976 yang meletakkan ITM setaraf dengan universiti-universiti lain di dalam negara. ITM telah dimandatkan dengan kuasa penuh beroperasi sebagai sebuah universiti namun kekal dengan nama asalnya sehingga tahun 1999. Berikut adalah penukaran yang telah dibuat :
  • Badan pentadbiran ITM, Lembaga Majlis, telah ditukar kepada Ahli Lembaga Pengarah dengan pembabitan lebih ramai perwakilan dari sektor swasta;
  • Ahli Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk menggubal bagi pihak institut;
  • Senat telah ditubuhkan;
  • Ramai ketua pegawai ITM mengalami proses pertukaran lantikan. Pengarah ditukar kepada Rektor, Ketua Pegawai kepada Provos, manakala Ketua dan Pensyarah Senior ditukar kepada Profesor dan Profesor Madya;
  • Setiap jabatan diberi nama Fakulti;
  • ITM diberi kuasa untuk menganugerahkan Ijazah kedoktoran;
  • ITM telah diberi keistimewaan untuk menubuhkan kursus dan kampus cawangan di luar negara dengan kelulusan dari Kementerian Pendidikan;
  • ITM telah diberi kuasa tambahan untuk membolehkan ia menjalankan perniagaan, terlibat dalam pelaburan, menubuhkan syarikat dan terlibat dalam penyelidikan berunsurkan komersial.
  • Kuasa disiplin di kalangan pegawai telah dipindahkan daripada Kementerian kepada Lembaga Pengarah.
  • Untuk memperbaiki akauntabiliti staf, ITM diberi kuasa untuk mengenakan surcaj;
  • Hak prosedur pelajar dalam sebarang pembicaraan mengenai perilaku dan disiplin diperketatkan. Ketika itu, ITM telah menubuhkan sebuah cawangan di setiap negeri. Kampus yang pertama dibina di Sabah pada tahun 1973 dan kampus yang terakhir adalah di Kuala Pilah, Negeri sembilan pada Jun 1999. Hampir kesemua kampus cawangan memulakan operasi di premis sementara, namun, penubuhan ini memunyai strategi dan pelan yang teratur. Kesemua kampus cawangan telah berpindah ke lokasi yang tetap kecuali kampus Kuala Pilah.

1967 - 1999

26 OGOS 1999

Universiti Teknologi MARA

Pada 26 Ogos 1999, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Aspirasi UiTM adalah untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia serta menjadi universiti terbaik. Justeru itu, UiTM telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 dan menjadi universiti pertama di dunia yang mendapat pensijilan keseluruhan yang meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran. UiTM sentiasa menumpukan kepada kecemerlangan akademik, inovasi, sosial, pengiktirafan antarabangsa, global dan teknologi baru yang menyumbang kepada pembangunan industri dan negara. Ini semua dibuktikan melalui pencapaian dan anugerah yang dimenangi sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Antaranya ialah menawan puncak Everest, ekspedisi Solo Antartika dan Kutub Utara, serta kejayaan memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi di Geneva, juara dalam pertandingan kereta solar dan SIFE, serta terkini kejayaan ekspedisi solo berbasikal menjelajah 7 benua.



Universiti Teknologi MARA Akta 173

Akta 173 telah digubal sempena penubuhan UiTM. Akta ini dianggap penting kerana ia menyediakan garis panduan untuk penyelenggaraan dan kelancaran pentadbiran serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Akta ini juga bertindak sebagai perakuan peralihan institusi dari sebuah institut kepada sebuah universiti, beserta kuasa yang diberi untuk membolehkan ia berfungsi seperti universiti-universiti lain, termasuklah penawaran kursus-kursus pengajian dan penganugerahan ijazah pada semua peringkat.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000