Berita Terkini

Karya Zyed dipamerkan di Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat

Seorang pelajar UiTM, Zyed Hamidi bin Zainal Abidin, telah terpilih mewakili Malaysia untuk menyertai sebuah pameran seni bertaraf antarabangsa yang sedang diadakan di Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat,

bermula dari 5 hingga 15 Februari 2024. Pameran ini dianjurkan secara bersama antara syarikat teknologi HONOR dan beberapa pertubuhan seni dan kebudayaan dari negara Republik China. Tujuan pameran ini adalah untuk meraikan bersama perayaan Tahun Baru China, dan juga mempromosikan semangat pertukaran budaya di seluruh dunia. Pameran ini turut disertai oleh wakil-wakil dari negara China, Singapura, Greece, Mesir, UAE, Arab Saudi, Mexico, Peru, Perancis, Britain, Itali dan beberapa negara lain.

Karya lukisan oleh Zyed Hamidi bertajuk ‘Soaring the Sky Together: A Commemoration of Understanding and Friendship’. Tema yang diketengahkan ialah persahabatan, ini adalah berdasarkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China yang disambut pada tahun 2024 ini. Bagi mempersembahkan idea tersebut, beberapa elemen telah dipilih iaitu Naga di dalam kebudayaan Cina, Wau Bulan sebagai melambangkan kebudayaan unik Malaysia dan motif Batik Malaysia yang terkenal dengan unsur tumbuh-tumbuhan. Simbolik kepada unsur-unsur ini ialah jalinan persahabatan yang telah sekian lama terjalin erat antara kedua-dua negara ini di dalam mengejar kemajuan.

Zyed Hamidi bin Zainal Abidin ialah pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Muda Seni Reka Grafik, Kolej Seni Kreatif, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Beliau merupakan salah seorang dari tiga orang pelajar dari UiTM yang telah memenangi anugerah ‘HONOR New Talents’ dalam pertandingan ‘HONOR Talents Global Design Awards 2023’ pada tahun lalu. Karya pelajar-pelajar UiTM tersebut telah dipamerkan di majlis apresiasi 'HONOR Talents Event’, yang bertempat di Canton Tower, Guangzhou, Republik China, pada 14 Disember 2023 yang lalu. Pertandingan ‘HONOR Talents Global Design Awards’ ialah sebuah pertandingan seni reka bertaraf antarabangsa yang dianjurkan secara tahunan oleh HONOR, sebuah syarikat teknologi terkemuka dari negara China. Pertandingan ini telah menerima penyertaan dari 240 buah Kolej dan Universiti dari 47 buah negara di seluruh dunia.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000