Berita Terkini

Pencapaian UiTM Terus Meningkat Bagi Reputasi Akademik: QS World University Rankings 2025

5 JUN 2024 - Selaras dengan agenda global dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan, QS World University Rankings (WUR) edisi 2025 mengutamakan kemampanan dan kebolehpasaran pelajar.

Pada tahun ini, UiTM mencapai kedudukan 587 daripada 1,503 institusi, yang meletakkannya berada dalam 39% universiti terbaik di dunia. Sebanyak 5,663 institusi dinilai dalam QS WUR 2025, dengan peningkatan ketara sebanyak 2,700 universiti baharu berbanding tahun lepas.

 QS WUR diukur melalui sembilan indikator, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, rangkaian penyelidikan antarabangsa, nisbah pelajar-fakulti, kemampanan, sitasi setiap fakulti, hasil pekerjaan, serta pelajar dan fakulti antarabangsa. Untuk lima tahun berturut-turut, UiTM menambah baik kedudukan bagi indikator reputasi akademik yang menjadi indikator terkuat Universiti apabila naik 15 anak tangga dengan mencapai kedudukan 288 berbanding 303 tahun lepas. UiTM juga mencapai kedudukan 234 bagi indikator reputasi majikan.

 Bagi indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa, skor UiTM meningkat daripada 24.3 kepada 68.6 pada tahun ini. Skor ini adalah skor tertinggi yang dicapai oleh UiTM antara kesemua indikator QS WUR 2025. Di peringkat global, rangkaian penyelidikan antarabangsa UiTM berada pada kedudukan 503 di seluruh dunia, yang menandakan peningkatan ketara UiTM dalam penyelidikan akademik.

 Menurut Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, Naib Canselor UiTM, “Sejak pelaksanaan agenda UiTM2025 pada tahun 2021, UiTM telah membuat penambahbaikan dalam meningkatkan reputasi akademik universiti. Pencapaian ini telah dicerminkan untuk lima berturut-turut dalam QS WUR 2025. Pada tahun ini, UiTM memulakan langkah dalam membangunkan Pelan Strategik UiTM2030. Kami menjangkakan usaha ini akan terus diiktraf secara posistif di peringkat antarabangsa, di samping kami meneruskan visi UiTM dengan menekankan penghayatan nilai dan memenuhi misi untuk melahirkan graduan Bumiputera profesional yang berdaya saing dan berkualiti tinggi.”

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000