Berita Terkini

UiTM Cawangan Selangor Lancarkan “Maybank@Campus” Pertama di UiTM

PUNCAK ALAM, 13 MEI 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, dengan kerjasama Malayan Banking Berhad (Maybank), telah menganjurkan Majlis Pelancaran “Maybank@Campus”

yang berlangsung di Plaza Satelit B, Kampus Puncak Alam. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, diiringi oleh Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, dan Pengarah Wilayah Selangor dan Negeri Sembilan Maybank Malaysia, Encik Abd Razak Kamardin bersama barisan pengurusan dari Maybank dan UiTM.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, taklimat perkhidmatan digital dan pameran produk kewangan. Inisiatif ini merupakan usaha strategik Maybank dalam memperkenalkan konsep perbankan digital menyeluruh kepada pelajar dan komuniti kampus. Ia bertujuan memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan serta akses kepada pelbagai penyelesaian kewangan moden.

Maybank@Campus adalah bukti komitmen berterusan UiTM bersama Maybank dalam menyokong aspirasi pendidikan negara serta memupuk literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa. Program ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada warga UiTM dan komuniti setempat.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000