Berita Terkini

Bengkel Moderator Sistem e-Aduan UiTM 2025 Perkukuh Kompetensi Urus Aduan

Bandar Enstek, 22 Jun 2025 – Seramai 140 moderator dari seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj) UiTM telah menyertai Bengkel Pemantapan Moderator Sistem e-Aduan 2025  yang berlangsung selama tiga hari,

bermula 20 hingga 22 Jun 2025 di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Bandar Enstek, Negeri Sembilan.Bengkel anjuran Pejabat Komunikasi Strategik, UiTM ini bertujuan memperkukuh kompetensi moderator dalam mengendalikan aduan secara cekap, telus dan berintegriti, sejajar dengan aspirasi universiti menangani isu penyaluran ketidakpuasan hati warga atau orang awam mengenai UiTM disaluran yang betul.

Program dimulakan dengan sesi pembukaan oleh Ts. Dr. Hayati Abd. Rahman, Pengarah Komunikasi Strategik, disusuli pelbagai sesi pendedahan intensif termasuk pengenalan Sistem e-Aduan versi baharu yang lebih mesra pengguna dan kaedah pelaporan aduan. Bengkel ini turut disempurnakan oleh Puan Norzaitul Ikma dari Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri yang turut memberi simulasi pengendalian aduan, dan penyelesaian untuk beberapa kajian kes.

Antara ahli panel yang turut berkongsi pengalaman termasuk Encik Mohamad Yusof Mustaffar (Pegawai Khas Naib Canselor II), DSP/PB Tuan Mohd Zaidi Razali (Ibu Pejabat Polis Bantuan), Encik Hairul Reazuan Asmayadi (Jabatan Hal Ehwal Pelajar), dan Encik Hanzalah Ali (Unit Kewangan Pelajar, Jabatan Bendahari).

Menurut Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif tahunan yang penting dalam usaha merangka pelan intervensi pengurusan aduan di semua peringkat PTj, bagi memastikan reputasi dan imej UiTM kekal terpelihara.Program diakhiri dengan sesi Aku Janji oleh semua moderator sebagai simbol komitmen terhadap amalan pengurusan aduan yang lebih profesional dan bertanggungjawab.

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000