Shah Alam, 2 Julai 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus membuktikan kecemerlangan dalam pengurusan berkualiti dengan kejayaan
mengekalkan Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 bagi tahun 2025. Audit pensijilan semula telah dilaksanakan oleh Lloyd’s Register Quality Assurance (LRQA) selama dua hari bermula 1 hingga 2 Julai 2025.
Audit ini telah diketuai oleh wakil LRQA, dengan dapatan menunjukkan bahawa UiTM Shah Alam tidak mencatat sebarang penemuan Ketidakakuran (Non-Conformity, NC) mahupun Peluang Penambahbaikan (Opportunity for Improvement, OFI). Keputusan ini secara langsung mencerminkan tahap kepatuhan dan keberkesanan sistem pengurusan kualiti universiti yang berada pada standard tertinggi.
Sepanjang sesi audit, sebanyak 17 jabatan utama telah dinilai secara menyeluruh melibatkan semakan dokumen, rekod kerja, laporan dalaman serta pematuhan kepada standard pengurusan yang ditetapkan. Antara skop yang diberi perhatian merangkumi aspek Management Review, pembangunan sumber manusia, audit dalaman, kepuasan pelanggan, pengurusan hal ehwal akademik, pengambilan pelajar, jaringan industri, komuniti dan alumni, serta prasarana dan persekitaran kerja.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc, turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan warga kerja UiTM yang telah menunjukkan komitmen tinggi, ketekunan dan kerjasama erat sepanjang proses audit berlangsung. Beliau menyatakan rasa bangga terhadap keberkesanan sistem pengurusan universiti yang berterusan dipertingkatkan selaras dengan misi UiTM untuk menjadi peneraju institusi pendidikan tinggi yang bertaraf antarabangsa.
Kejayaan audit ini sekali gus memperkukuh imej dan kedudukan UiTM sebagai institusi yang unggul dalam pengamalan budaya kerja cemerlang dan pengurusan berasaskan standard antarabangsa, serta menyokong aspirasi universiti untuk terus menyediakan perkhidmatan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berkesan.