Fakulti Pendidikan, UiTM Menangani Keperluan Kepakaran ICT Graduan Bersama Cloud Connect Sdn Bhd Melalui Kerjasama Strategik

SHAH ALAM, 3 NOVEMBER 2022 – Satu kerjasama strategik pertama antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Pendidikan

bersama Cloud Connect Sdn. Bhd. telah dicetuskan melalui satu sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini. Pemeteraian Memorandum telah ditandatangani oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM bersama En. Hanafiah Hassan, Pengarah Urusan Cloud Connect Sdn. Bhd., dan disaksikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Sharifah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM bersama En. Rosli Rahim, Pengarah Cloud Connect Sdn. Bhd.

Projek “Menangani Keperluan Kepakaran Modal Insan Selaras Dengan Kemajuan Teknologi ICT Moden” merupakan inisiatif di antara pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Pendidikan dan Cloud Connect Sdn. Bhd., syarikat Panel yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk MyDigital Manage Service Provider. Projek ini merupakan satu projek Latihan peningkatan kemahiran ICT yang berdasarkan keperluan pengetahuan teknologi ICT semasa di peringkat nasional dan antarabangsa. Pelaksanaan projek ini secara amnya bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kemahiran ICT pada waktu semasa. Secara khusus, program ini bertujuan meningkatkan kemahiran ICT di kalangan graduan agar mereka mempunyai kemahiran untuk menyertai tenaga pekerja.

Menurut Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, beliau menekankan bagaimana UiTM merangkap sebagai pusat pembentukan dan penghasilan Modal Insan utama di Malaysia sangat peka tentang keperluan kerjasama yang lebih rapat antara sektor pendidikan tinggi dan industri ICT bagi memberi graduan pendedahan dan kemahiran ICT yang sepatutnya demi memastikan negara melahirkan Modal Insan yang dapat menguasai penggunaan teknologi moden kini dan seterusnya. “UiTM amat mementingkan keberhasilan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran yang bertaraf global dan berdaya saing, malahan graduan yang dapat menguasai penggunaan teknologi dan mampu menyumbang kepada inisiatif teknologi negara seperti MyDIGITAL, Strategi Cloud First dan Dasar Perindustrian Keempat (4IR).”

“Kerjasama buat kali pertama ini merupakan suatu menifastasi kepada keperhatinan UiTM tentang wujudnya jurang ketidaksepadanan antara keperluan industri ICT dengan kemahiran graduan ICT universiti. Kerjasama ini akan melangkaui sempadan sektor pendidikan biasa dan akan menambah nilai pendidikan asas dan kemahiran yang diperolehi graduan daripada universiti,” jelas beliau.

Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan termasuk satu Bengkel Pembangunan Kurikulum ICT moden yang berlangsung pada 26 Ogos lalu. Perjanjian persefahaman (MoU) ini, yang ditandatangani pada hari ini akan berkuatkuasa selama 3 tahun. Pada tahun 2021, kerajaan Malaysia telah melancarkan inisiatif teknologi negara seperti MyDIGITAL, Strategi Cloud First dan Dasar Perindustrian Keempat (4IR) sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagi negara membangun dan perpendapatan tinggi. Asas bagi mencapai aspirasi ini adalah Modal Insan dengan kepakaran ICT moden yang sesuai bagi memenuhi keperluan industri dan penjawat awam ICT di Malaysia.

Selamat untuk dikatakan bahawa kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya. Ia akan melangkaui sempadan sektor pendidikan biasa dan akan menambah nilai pendidikan asas dan kemahiran yang diperolehi graduan daripada universiti. Ia juga akan menjadi rujukan serta piawai kerjasama sektor pendidikan dan industri di masa hadapan.

 

Berita Lanjut

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000