Agong cemar duli rasmi Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM

KUALA SELANGOR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan mencemar duli merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam, di sini, hari ini. Keberangkatan tiba baginda

pada jam 11.16 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan melawat tapak pameran hospital, perpustakaan dan Clinical Simulation Centre (CSC).

Untuk rekod, hospital itu sebelum ini dikenali sebagai Hospital UiTM Puncak Alam, yang berkeluasan 18.4 hektar (46 ekar), siap dibina pada 2020 dan mula beroperasi pada 5 April 2021.

Dengan reka bentuk binaan bangunan berinspirasikan molekul air zamzam, ia menjadi mercu tanda baharu UiTM, dengan menawarkan perkhidmatan rawatan dan kesihatan kepada hampir 1.5 juta rakyat di Selangor dan Perak Selatan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Noraini berkata, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM berupaya meningkat mutu penjagaan kesihatan di Malaysia, di samping menambah akses masyarakat setempat kepada perkhidmatan perubatan yang berkualiti.

"Pembinaan hospital ini adalah bertepatan dengan fokus strategik Kementerian Pengajian Tinggi dalam memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan keperluan supaya universiti awam menggiatkan sumbangan 'beyond academics' (melangkaui akademik) kepada komuniti.

"Justeru, kami berharap ruang dan kemudahan di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM digunakan secara optimum serta dapat memanfaatkan ramai kumpulan sasaran, di samping memberikan pulangan atas pelaburan yang sewajarnya," katanya.

*Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/979470/agong-cemar-duli-rasmi-hospital-al-sultan-abdullah-uitm

Hubungi Kami

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Tel: +603-5544 2000